Awasi Kaki Bengkak Semasa Mengandung. Ia Mungkin Petanda Penyakit Ini.

Boleh dikatakan hampir semua ibu mengalami kaki bengkak semasa mengandung. Kaki bengkak semasa mengandung atau dipanggil Edema terjadi disebabkan perubahan hormon dan perkembangan bayi dalam kandungan. Sungguhpun keadaan ini adalah normal dan akan berakhir selepas ibu bersalin, ia  mungkin juga menjadi petanda kepada penyakit lain seperti preeclampsia (darah tinggi semasa mengandung) dan nephrotic syndrom (penapis buah pinggang bocor).

Kenapa Kaki Bengkak Semasa Mengandung?

Orang tua-tua kata, bengkak air dan ada benarnya pendapat tersebut . Dari sudut saintifik, keadaan ini terjadi disebabkan cecair berlebihan yang terkumpul dia dalam tisu badan terutama di kawasan buku lali ke bawah. Lazimnya, keadaan ini berlaku selepas usia kandungan masuk 20 minggu di mana janin sudah mula membesar dan menekan salur ‘inferior vena cava’ yakni salur darah yang membawa darah dari seluruh badan kembali ke jantung. Perubahan tekanan di dalam salur pembuluh darah menyebabkan cecair badan akan tertapis keluar daripada salur darah dan berkumpul di celah-celah tisu badan.Perjalanan darah menjadi kurang lancar serta berkumpul pada kedua-dua belah kaki. Maka kaki akan membengkak namun lazimnya tidak mendatangkan sebarang kesakitan. Ibu cuma perlu beli kasut baru sahaja. Haha.

kaki bengkak semasa mengandung

 

Adakah Bengkak Kaki Semasa Mengandung Menjadi Tanda Sebarang Penyakit?

Benar, jika bengkak kaki ibu melarat hingga ke bahagian peha, pinggang, celah-celah jari atau muka, ia boleh menjadi petanda kepada perkara tersebut:

Preeclampsia.

Preeclampsia merupakan penyakit darah tinggi yang hanya berlaku semasa ibu mengandung. Dalam erti kata lain, ibu tidak mengalami masalah tekanan darah tinggi sebelum hamil. Preeclampsia merbahaya kerana ia boleh memudharatkan ibu dan bayi dalam kandungan. Ia boleh menyebabkan banyak komplikasi kepada ibu mengandung dan bayi dalam kandungan seperti kerosakan buah pinggang, gangguan fungsi hati, strok dan sawan. Ibu yang mengalami masalah ini harus berada didalam pengawasan rapi oleh doktor dan tidak digalakkan bersalin secara normal. Jika kaki bengkak diiringi dengan masalah lain seperti sering sakit kepala, pitam, pedih ulu hati dan muntah yang teruk, ibu harus memdapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.

Nephrotic Syndrome

Lebih dikenali dengan sindrom “penapis buah pinggang bocor”, keadaan ini juga merbahaya dan memerlukan pemantauan rapi oleh pakar buah pinggang. Keadaan ini berpunca daripada masalah penapisan pada buah pinggang   yang menyebabkan protein dan air dikumuhkan keluar daripada salur darah. Tanpa rawatan dan pemantauan, pengidap mungkin mengalami masalah kegagalan buah pinggang dan ini amat membahayakan nyawa.

Deep Vein Thrombosis

Ianya keadaan di mana darah beku tersumbat dalam saluran darah lalu menyebabkan kaki menjadi bengkak. Jika kaki bengkak diiringi dengan sakit yang meyucuk di bahagian betis, lenguh dan sukar untuk berjalan, ibu harus segera memaklumkan perkara tersebut kepada doktor. Deep vain thrombosis amat mudah dialami ibu hamil kerana dehidrasi dan darah menjadi lebih pekat dari biasa. Darah beku amat merbahaya kerana ia boleh pecah bila-bila masa lalu menyumbat saluran jantung dan paru-paru.

Sungguhpun demikian, ibu tak perlu terlalu risau jika kaki bengkak semasa mengandung kerana ianya normal buat semua ibu. Untuk memastikan keadaan kesihatan, ibu harus sentiasa mematuhi temujanji bulanan yang telah ditetapkan dan makan vitamin yang diberi mengikut aturan. Bagi melegakan masalah kaki bengkak semasa mengandung, ibu boleh cuba beberapa tips yang ummi kongsikan di bawah.

Cara Melegakan Kaki Bengkak Semasa Mengandung

1. Tinggikan Kedudukan Kaki

Jangan biarkan kaki berada dalam keadaan tergantung. Cuba letakkan kaki setinggi yang boleh. Jika ibu bekerja di meja pejabat, boleh cuba beli bangku kecil dan lunjurkan kaki di atas bangku tersebut. Jika duduk di lantai, cuba lapik kaki dengan bantal.

2. Elak Berdiri Terlalu Lama

Elak berdiri jika tak perlu. Ibu juga perlu memilih kasut yang lebih rata dan selesa. Kasut tumit tinggi atau terlalu ketat bukan sahaja membuatkan ibu tidak selesa malah mungkin menyebabkan kaki bertambah bengkak.

3. Urutan

Jika boleh, minta suami tolong urutkan kaki ibu. Masa ni lah kita nak lebih perhatian dari suami kan? Hehe. Tapi kalau suami tak dapat lakukan, ibu boleh sahaja pergi ke tempat urutan yang terdapat di shopping malls seperti “Manjakaki”. Urutan dan minyak aromaterapi boleh melegakan tekanan di kaki walau tidak menghapuskan bengkak kaki sepenuhnya.

4. Berenang atau Berehat di Dalam Kolam Renang

Mungkin tidak ramai ibu berpeluang melakukan aktiviti sebegini termasuk juga ummi, hehe. Tapi, jika ibu berpeluang melakukannya, aktiviti di kolam renang sebenarnya membantu melegakan terkanan bengkak kaki semasa mengandung. Aliran darah akan menjadi lebih lancar dan simptom ini dapat dikurangkan. Kalau tidak dapat ke kolam renang, cukup sekadar merendam kaki di dalam air sejuk. Lenguh dan tekanan pada kaki akan dapat dikurangkan, insyaaAllah.

5. Posisi Tidur

Ibu digalakkan tidur mengiring ke kiri. Dengan posisi begini, bayi di dalam kandungan tidak akan menekan salur inferior vena cava dan pengaliran darah ke jantung akan lebih lancar.

6. Air

Minum air yang mencukupi. Ada yang takut bahawa air membuatkan kaki semakin membengkak. Pasti semua tahu bahawa doktor menyarankan air kosong 8 gelas sehari untuk kesihatan umum. Sungguhpun keadaan kaki bengkak semasa mengandung disebabkan lebihan cecair di dalam tubuh, minum air mencukupi tidak membuatkan keadaan menjadi buruk. Malah, air membantu peredaran darah yang lebih baik, mengelah dehidrasi lalu mengelak terjadinya masalah menjadi pekat.

7. Aktif bergerak.

Kurang bergerak menyebabkan kaki menjadi lebih sembab dan berkak disebabkan kurangnya aliran darah. Oleh itu, ibu wajar bergerak dengan lebih aktif supaya bengkak dapat dikurangkan.

8. Kurangkan Garam

Sodium yang tinggi di dalam tubuh menyebabkan masalah lebihan air dalam badan (water retention). Elakkan makanan tinggu garam seperti “fast food”, makanan ringan, dan makanan dalam tin. Banyakkan pengambilan makanan tinggi potassium yang berfungsi menyingkirkan garam berlebihan dalam tubuh seperti pisang, oren dan keledek.

Kesimpulannya, ibu tak perlulah risau bila kaki mula membengkak semasa hamil. Sentiasa patuhi temujanji dengan doktor, makan secara sihat dan sentiasa maklumkan doktor jika terdapat tanda-tanda luarbiasa pada mana-mana bahagian tubuh ibu. Semoga ibu dan bayi sihat selalu.

Salam Sayang dari pengedar Shaklee anda,

Ummi Tiqah
SMS/Whatsapp: 018-290 7924  
ummitiqah@gmail.com  
FB Page: Ummi Tiqah

Pengedar Sah Shaklee, ID 880093

COD sekitar Gombak, Selayang, Setapak, Taman Melati, Wangsa Maju. Pengeposan ke seluruh Malaysia melalui PosLaju. 

 

Rujukan:

  1. http://www.mmgazette.com/kaki-bengkak-semasa-mengandung-normal-atau-mudarat/
  2. https://www.babycenter.com/0_swollen-feet-ankles-and-hands-edema-during-pregnancy_230.bc
  3. https://www.whattoexpect.com/pregnancy/symptoms-and-solutions/edema.aspx
  4. http://www.wikihow.com/Reduce-Edema-During-Pregnancy

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge